Serius : Nirmala Wanita Pertama Di Malaysia Dipenjara Atas Kesalahan Gugur Bayi






Kanun Keseksaan menganggap satu kesalahan menggugurkan kandungan atau menyebabkan anak lahir tidak bernyawa. Bagaimanapun, tidak pernah dalam sejarah undang-undang seseorang wanita disabitkan kesalahan di bawah undang-undang tersebut. – Gambar fail Reuters, 5 Disember, 2014.



Seorang pekerja asing dari Nepal yang dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana menjalani pengguguran kandungannya merupakan wanita pertama di Malaysia disabit dan dihukum atas kesalahan tersebut lapor portal TheMalaysianInsider semalam.



Ketika mengandung enam minggu, Nirmala Thapa, 24, menjalani prosedur menggugurkan anaknya di sebuah klinik di Bukit Mertajam pada Oktober 9.



Pada hari sama, dia dilaporkan ditahan di klinik tersebut ketika satu pemeriksaan biasa oleh pegawai Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta di bawah Kementerian Kesihatan.



Nirmala, yang bekerja di sebuah kilang, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam pada 13 Oktober di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menghalang kelahiran anak dalam kandungan.



Menurut undang-undang tersebut, adalah satu kesalahan menamatkan kandungan atau menyebabkan bayi lahir dalam keadaan tidak bernyawa.



Mereka yang disabitkan kesalahan ini boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya pengguguran bukan bagi tujuan menyelamatkan nyawa ibu.



“Tidak pernah seorang wanita di Malaysia dipenjarakan kerana melakukan pengguguran, sehinggalah (kes) Nirmala. Kami telah memeriksa dengan pakar undang-undang kami. Mereka tidak dapat menemui pensabitan serupa sebelum ini,” kata Dr Choong Sim Poey, pengerusi bersama Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM).



Choong yang mewakili kumpulan hak wanita dan kesihatan itu berkata apa yang berlaku ke atas Nirmala membangkitkan soal layanan Malaysia terhadap pekerja asing serta hak wanita.



Pengguguran dibenarkan oleh Seksyen 312 Kanun Keseksaan sekiranya ia dilakukan seorang doktor berkelayakan.



Seksyen tersebut bagaimanapun menganggap satu kesalahan bagi seseorang atau seorang wanita hamil sengaja menyebabkan keguguran. – Disember 5, 2014.


Category Article

What's on Your Mind...