Serius : Orang Asli Naik Kereta Mewah (Gambar)






Penduduk Orang Asli Kampung Paya Mengkuang di sini yang diberikan peluang menaiki 26 kereta mewah sewaktu konvoi kereta mewah itu tiba di bandar Temerloh semalam.



TEMERLOH – Lebih 50 penduduk Orang Asli Kampung Paya Mengkuang di sini tidak melepaskan peluang menaiki 26 kereta mewah antaranya Ferrari, Lamborghini dan Nissan GTR untuk kali pertama dan mungkin terakhir sepanjang hidup mereka, laporSinarHarian hari ini.



Kesemua mereka berpeluang menaiki kereta tersebut dan bersiar-siar sejauh kira-kira dua kilometer menerusi program kebajikan anjuran kelab Super Car Kuala Lumpur dengan kerjasama Kelab Rotary Temerloh dalam satu program selama kira-kira dua jam di kampung tersebut semalam.



Ketua Program konvoi Super Car Michael Loke berkata, program tersebut disertai 26 pemilik kereta mewah dari Kuala Lumpur yang turut berjaya mengumpul dana bagi menaik taraf balai raya kampung tersebut.



Menurutnya, program tersebut adalah sebahagian dari program amal hujung minggu yang disertai semua pemilik kenderaan tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga berjaya di negara ini.



“Kami mengambil peluang untuk menerapkan pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya menerusi program ini dan turut menyumbang dana RM15,000 kepada penduduk kampung Orang Asli Paya Mengkuang ini,” katanya semalam.



Michael Loke berkata, terdapat lebih 170 kereta Ferrari di Malaysia dan lebih 1,000 jenama kereta mewah lain yang biasanya mengadakan program berbeza tetapi kali ini sebahagian kecil daripadanya bersatu mengadakan program amal itu.



Sementara itu Presiden Kelab Rotary Temerloh Datuk Seiko Chew berkata, program tersebut diharap mampu memberi motivasi kepada penduduk Orang Asli untuk berjaya dalam hidup selain bantuan yang dikumpul dapat membantu pembangunan komuniti mereka.



Menurutnya, Kelab Rotary Temerloh, Kelab Super Car dan Syarikat Telekomunikasi The One menyumbangkan RM5,000 setiap daripada mereka untuk pembangunan komuniti di kawasan itu.



Antara yang berpeluang menaiki kereta mewah itu semalam ialah Sabri Min yang menganggap pengalaman dibawa bersiar-siar dengan kereta Ferrari satu perkara yang akan diingati sampai bila-bila.



Menurutnya, dia tidak pernah terfikir diberikan peluang untuk menaiki kereta mewah itu tetapi tidak melepaskan peluang sebaik sahaja dipelawa menaiki kereta mewah itu.


Category Article

What's on Your Mind...