AJL 29: Penyanyi Aweera Kecewa, Dedah Muslihat Edry (KRU)






Aweera terkilan tidak dapat beraksi di pentas AJL29.



PETALING JAYA: Penyanyi Aweera menganggap tindakan komposer Edry Abdul Halim melemparkan tuduhan buruk dan menyingkirkannya untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) pada 18 Januari 2014 hanyalah satu fitnah yang sengaja menjatuhkan maruahnya.



Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham, 23, berkata, dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang bekerjasama dengan bekas kumpulannya iaitu Mojo ketika bersama-sama membuat gaya persembahan lagu berjudul Romancinta pada malam Separuh Akhir Muzik Muzik 2014 pada 28 November lalu.



“Saya terkilan apabila ddia (Edry) menuduh saya disingkirkan daripada Mojo kerana menimbulkan masalah kepada kumpulan itu, kalau saya bermasalah daripada awal lagi saya tidak mahu bagi kerjasama. Perkara sebenar adalah saya yang menarik diri.



“Dia meminta saya untuk berduet dengan penyanyi baru mereka (Mojo) iaitu penyanyi dari Indonesia pada malam AJL 29 nanti dan cadangan itu saya tidak setuju sama sekali,” ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi semalam.






Edry Abdul Halim



Aweera berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan komposer dan ketua kumpulan Mojo iaitu Edry Abdul Halim yang terpaksa menyingkirkan Aweera daripada bertanding dalam pentas final AJL 29 kononnya kerana menimbulkan masalah.



Tambah Aweera, Edry meminta dia hanya menyanyikan bahagian korus sahaja, manakala penyanyi baharu kumpulan itu akan menyanyikan bahagian verse.



Malah, perjanjian yang dibuat juga tidak adil bagi dirinya apabila ditawarkan akan berkongsi hadiah dengan penyanyi tersebut jika menang pada malam tersebut.



Disebabkan perkara itu, Aweera berkata dia bertindak menarik diri sewaktu perbincangan konsep persembahan AJL 29 bersama pihak produksi TV3.



“Dia suruh saya nyanyi bahagian yang susah dan penyanyi baru itu bahagian verse sahaja. Itu tidak adil, ini bukan persembahan majlis makan malam.



“Perjanjian pula tidak adil jika kami menang, saya akan berkongsi (wang kemenangan) dengan penyanyi itu. Oleh itu saya tarik diri depan semua krew produksi TV3,” ujarnya.



Dalam pada itu, Aweera mengakui ada meminta untuk membuat persembahan tersebut bersama ahli kumpulannya sendiri berikutan tiada komitmen yang diberikan oleh ahli kumpulan asal Mojo.



“Ya, saya minta membuat persembahan dengan kumpulan saya sendiri, ini kerana ahli kumpulan asal iaitu Denny dan Johar tidak dapat beri komitmen yang baik.



“Sewaktu pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 2014 lalu mereka tidak mahu terlibat, ada yang jaga anak dan pergi berbulan madu. Sebab itu saya rasa lebih baik pakai kumpulan saya sahaja yang mana lebih baik daripada mereka,” ujarnya.



Sementara itu, Aweera berkata, dia kecewa apabila orang ramai mula menunding jari dan menganggap perkara itu adalah disebabkan kesalahannya.



Sebaliknya dia terpaksa tampil membersihkan namanya daripada kenyataan yang diberikan oleh Edry.



Selepas Aweera keluar daripada kumpulan tersebut pada Mei lalu, Mojo dianggotai oleh Edry, Denny dan Johar.


Category Article

What's on Your Mind...