Kartunis Ujang: Jangan ‘Main Api’ Dengan Perkara Agama






“INI warning jelas kepada kartunis sendiri.



“Perkara ini bukan baru berlaku namun sudah lama disedari dan tidak harus diambil remeh,” demikian komen kartunis terkenal Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon ketika diminta mengulas insiden serangan tembakan di pejabat media satira, Charlie Hebdo di Paris, Selasa (waktu tempatan) lalu.



“Jangan ‘main api’ dengan perkara agama, apa yang berlaku di Paris itu harus dijadikan teladan,” katanya, memetik laporan Astro Awani.



Menurut Ujang, banyak isu lain yang boleh diketengahkan antaranya kartun berbentuk humor sosial dan kemasyarakatan tanpa menyelitkan sebarang unsur yang boleh disifatkan sebagai sensitif untuk mana-mana agama dan negara di seluruh dunia.



“Banyak isu lain yang boleh dibuat selain agama, mereka (kartunis) boleh melukis dan berjenaka mengenai kehidupan sehari-hari, budaya masyarakat dan pelbagai lagi dengan syarat tidak melanggar adab dan batas,” katanya.



Dalam serangan itu, 12 terbunuh termasuk dua anggota polis.



Pihak polis Perancis kini memperketatkan kawalan bagi menjejaki dua dalang serangan itu yang dipercayai adik beradik, Said Kouachi, 34, dan Cherif Kouachi, 32, lapor dari portal Mynewshub.


Category Article

What's on Your Mind...