Remaja Dipegang 2 Lelaki Sebelum Dicabul Dalam Gym Fitness First






Kes ini menjadi viral apabila seorang individu bernama Gan Wee Yet yang ditemui ahli keluarga terdekat mangsa memuatkan naik mesej perbualan insiden itu di laman sosial Facebooknya.



KUALA LUMPUR, 9 Januari : Seorang daripada dua suspek telah berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja berumur 17 tahun.



Menurut sumber terdekat yang enggan dikenali, mangsa telah membuat laporan polis pada 6 Januari lalu dan PDRM sehingga kini masih lagi memburu seorang lagi suspek bagi membantu siasatan.



Mengulas lanjut perkara itu, sumber mencerita kejadian sebenar apa yang berlaku ketika dia dan mangsa pergi ke sebuah pusat kecergasan terkenal Fitness First Menara Summit di Subang Jaya pada Selasa lalu.



“Saya pergi ke gimnasium dengan dia untuk melakukan senaman seperti biasa. Selepas selesai saya nampak mangsa keluar dari bilik persalinan dalam keadaan terkejut dengan mata merah.



“Dia beritahu dua lelaki telah datang dan salah seorang telah melakukan seks oral terhadapnya. Selepas dia menjelaskan kejadian itu, saya marah dan telah pergi berjumpa dengan salah seorang lelaki itu.



“Saya pegang dan tidak bagi dia keluar. Lelaki itu berbohong kata dia tidak berada di sauna dan terus keluar,” katanya kepada The Rakyat Post.



Kata sumber, selepas mangsa mengesahkan suspek itu, dia dan tiga rakan yang lain telah mencari suspek dan menjumpai suspek dibuah kedai tidak jauh dari pusat kecergasan itu.



Suspek tetap menafikan kejadian itu tetapi mengaku ada berada di sauna seorang diri.



Kecewa dengan jawapan suspek, kata sumber dia dan rakan-rakan kembali ke pusat kecergasan sementara menunggu ibunya datang untuk mengambilnya pulang.



“Ibu yang terkejut dengan kejadian itu terus memarahi pihak pengurusan. Pengurusan terkejut dan mereka kata mereka akan melakukan apa yang mereka boleh.



“Mereka tahu kami akan membuat laporan dan mereka tidak halang. Polis telah menangkap salah seorang daripada mereka,” katanya.



Kes ini menjadi viral apabila seorang individu bernama Gan Wee Yet yang ditemui ahli keluarga terdekat mangsa memuatkan naik mesej perbualan insiden itu di laman sosial Facebooknya.



Gan yang merupakan ahli pusat kecergasan di Subang Jaya dalam statusnya berkata akan mengumpulkan ‘gladiator’nya dan berjumpa di Fitness First bagi mengetahui apa yang sedang berlaku.



Bagaimanapun, Gan dalam status terbaru yang dimuat naik menyatakan beliau telah diminta ayah kepada mangsa untuk tidak masuk campur dalam perkara ini atas nasihat polis.



“Satu jam yang lalu, saya menerima panggilan daripada pegawai penyiasat dengan baik memberitahu saya bahawa polis akan menyiasat kes ini dengan teliti dan menasihatkan saya supaya tidak mengganggu siasatan beliau.



“Saya juga telah berjumpa dengan keluarga mangsa tadi dan kita bersetuju bahawa kita harus membiarkan polis menjalankan siasatan mereka,” katanya.



Gan juga turut membatalkan perjumpaan kumpulannya seperti mana yang diminta oleh keluarga mangsa dan pihak polis.



Gan ketika dihubungi The Rakyat Post menyatakan kedua-dua suspek telah ditahan di lokasi yang berasingan.



Sementara itu, Fitness First Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membantu siasatan.



“Fitness First Malaysia memberi jaminan pihak yang terlibat dan keluarga bahawa mereka akan bertindak mengikut undang-undang dan peraturan mereka sehingga siasatan lengkap dan kesimpulan rasmi dicapai.



“Fitness First Malaysia menggesa orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang sah,” katanya.


Category Article

What's on Your Mind...