Selepas Ini Penagih Dadah Bukan Lagi Dikategorikan Penjenayah






Wan Junaidi Tuanku Jaafar



Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerlukan tempoh dua tahun untuk membolehkan pihaknya meminda status antara pengedar, penjual dan pembawa dadah dengan penagih.



Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kalau sebelum ini keempat-empat pihak berkenaan diletakkan sebagai status penjenayah, tetap setelah dibuat kajian, adalah sesuai penagih dadah dicapkan sebagai pesakit.



“Memang sekarang ini, sedikit demi sedikit bermula sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini, kita akan asingkan status ini. Bagi pihak penjual dadah, pengedar dadah dan pembawa dadah, kita akan kategorikan sebagai penjenayah.



“Penagih dadah pula kita capkan mereka sebagai pesakit. Dengan pengasingan status ini saya telah minta pihak Peguam Negara meminda undang-undang ini supaya diasingkan mereka ini.



“Untuk menyiapkan kerangka ini sahaja akan melibatkan beberapa perkara iaitu penggubalan undang-undang dan saya sendiri akan menduduki satu jawatankuasa yang telah diminta oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan menyuarat ini.



“Hasil daripada mesyuarat ini, saya akan membuat laporan kepada Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin sebelum Jun ini untuk melihat apakah kesan kepada pindaan yang akan dibuat nanti,” katanya.



Dr. Wan Junaidi berkata, kebimbangannya kini tertumpu kepada murid peringkat sekolah rendah, yang mana dalam usia enam dan tujuh tahun sudah mula berjinak dengan minuman air ketum iaitu turut membahayakan kesihatan pada jangka panjang.



Katanya, kementeriannya menerima laporan mengenai kegiatan dan perbuatan ini, yang kita dapati berpunca daripada ibu bapa itu sendiri membekalkan minuman air ketum kepada anak mereka ke sekolah.



“Ini yang mengejutkan kita… ada anak-anak kita di sekolah yang usianya enam dan tujuh tahun terlibat dengan penagihan dadah. Sebab itu kita bimbang apabila ada ibu bapa membekalkan kepada anak mereka minuman air ketum pergi ke sekolah.



“Kita mempunyai rekod yang begitu tinggi sekali kerana kesan daripada air ketum ini mempunyai ciri-ciri tahap bahaya tertentu, iaitu lama kelamaan akan merosakkan otak manusia,” katanya.



Jelasnya, beliau telah meminta Universiti Malaya (UM) membuat kajian mengenai bahaya daun ketum dan mendapati ia memberi kesan jangka panjang kerana mengandungi dadah yang merbahaya seperti morpin dan pil penahan sakit. – MalaysiaGazette


Category Article

What's on Your Mind...