Janda ‘Jual Rumah Dapat Tuan Rumah’ Sudah Temui Pembeli, Seorang Duda


Wina mendakwa bakal bertemu jodoh penghujung Mei ini. FOTO ihsan Wina

Kuala Lumpur: Janda anak dua, Wina Lia, 40, dari Jogjakarta yang sebelum ini terkenal di seluruh dunia menerusi iklan ‘jual rumah dapat tuan rumah’ mendakwa hampir bertemu jodoh selepas duda anak dua dari Semarang akan membeli rumahnya, sekali gus melamarnya pada penghujung Mei ini.

Wina berkata, bibit-bibit cinta dia dengan Redy Eko Saputro yang berusia 46 tahun mula berputik selepas mereka saling bertukar mesej menerusi SMS dan berhubung menerusi telefon.

“Pada pertengahan April lalu, dia (Redy) menyatakan hasratnya mahu membeli rumah saya. Dia menghantar SMS dan menghubungi saya hampir setiap hari dan ia berlarutan kepada hubungan yang lebih serius, bukan sekadar membincangkan mengenai hal rumah.

“Selain mahu membeli rumah dengan harga yang saya tawarkan , dia juga ada beritahu mahu melamar saya pada penghujung Mei ini selain menawarkan untuk menunaikan umrah bersama dalam masa terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan portal Harian Metro, hari ini.

Wina pada awal Mac lalu mengiklankan di Internet dengan menggunakan ayat `Penawaran Langka Abad Ini!!! Beli rumahnya bisa mengajak pemiliknya menikah (syarat dan ketentuan berlaku) hanya untuk pembeli serius dan tanpa nego’.

Rumah berkeluasan 523 meter persegi itu mahu dijual Rp999,000,000.00 (RM282,601).

Menurutnya, dia belum bertemu Redy, tetapi sudah mengenali lebih dekat ibu bapa lelaki terbabit yang juga kerap menghubunginya selain ada berbincang mengenai lamaran berkenaan.

“Biarpun belum pernah berjumpa dan hanya berhubung menerusi telefon, tetapi jauh di sudut hati, saya percaya lelaki itu jujur mahu membeli rumah dan memperisterikan saya.

“Saya juga semakin rapat dengan ibu bapanya. Dari situ saya melihat dia (Redy) benar-benar jujur dan ikhlas untuk datang melamar saya selewat-lewatnya penghujung Mei ini.

“Sepanjang mengenalinya sejak pertengahan April lalu, semakin hari kami semakin serasi apabila sering bertukar pendapat dan berkongsi masalah. Dari segi agama juga dia sering menasihatkan dan banyak membimbing saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembeli rumahnya, Wina berkata, selain daripada lelaki itu ada dua lagi individu dari Arab dan Indonesia yang mahu membelinya dengan harga yang ditawarkan sebelum ini.

“Saya akan memberi keutamaan kepada dia (Redy) yang akan berjumpa saya pada penghujung Mei ini. Insya-Allah, untuk majlis resepsi nanti saya akan menjemput media tempatan dan Malaysia pada hari bahagia saya nanti. Doakan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Wina memaklumkan dia kini mencuba bidang nyanyian dan sudah menghasilkan ‘single’ berjudul ‘Rumah Cinta Winalia’ yang dimuat naik di Youtube.


Category Article

What's on Your Mind...