Kenapa Kerajaan Tidak Hapuskan Cukai GST Pada Kad Topup? Ini Sebabnya



Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kebanyakan pengguna talian prabayar adalah warga asing dan oleh itu tidak perlu mendapat pengecualian GST. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mei, 2015.

Kerajaan hilang hasil cukai RM800 juta jika kad topup tiada GST

Kerajaan bakal kehilangan sejumlah RM800 juta pulangan hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya cukai terhadap kad prabayar berkenaan dihapuskan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Shabery berkata, sebahagian besar pengguna kad prabayar telefon di Malaysia hari ini adalah warga asing.

“Sebanyak dua pertiga daripada pengguna talian prabayar adalah warga asing yang kebanyakannya dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

“Jika kamu tanya, saya tidak mahu duit kita dibayar untuk subsidi kepada kad prabayar mereka,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Putrajaya juga, katanya, bercadang mengenakan caj tambahan atau mengurangkan nilai panggilan pada kad prabayar.

Ahli Parlimen Kemaman itu bagaimanapun berkata, keputusan akhir hanya dilaksanakan selepas tinjauan dilakukan terhadap pengguna.

“Sebagai contoh bagi RM10 nilai kad prabayar terdapat dua pilihan sama ada dijual pada harga RM10.60 atau harga RM10 tetapi dengan nilai panggilan sebanyak RM9.43,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang tindakan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mahu GST dihapuskan daripada kad prabayar, beliau berkata, ia mempunyai lebih kuasa dalam isu berkenaan.

“Saya harus akui berdasarkan fakta, JKDM lebih berkuasa dalam isu ini. Bagaimanapun dalam sudut teknikal, agak mustahil untuk menarik balik kesemua kad prabayar dan mencetak semula dalam tempoh dua hari,” katanya.

Najib sebelum ini berkata hanya Shabery layak mengeluarkan kenyataan berhubung isu GST kad prabayar.

“Shabery Cheek Please take charge of the topup issue. Mulai sekarang, sebarang pengumuman kepada rakyat hanya boleh dibuat oleh menteri KKMM saja,” kata Najib di laman Facebook dan Twitter miliknya.

Di Twitter, Najib turut mengetag akaun Shabery di @shaberyc lalu dijawab olehnya: “@NajibRazak Yes Sir, saya akan jumpa dgn semua pihak utk dapatkan yg terbaik bagi rakyat dan negara.”

Beberapa pengguna media sosial mempersendakan pertukaran mesej di Twitter antara perdana menteri dan menteri komunikasi itu.

“Benda kecil pun lambat nak selesaikan,” tweet seorang pengguna di akaun @_hafiz.

Seorang lagi menggunakan akaun @MieBird menulis komen: “Baru nak mesyuarat? hmmm.”

Sebelum ini, pihak Kastam mengarahkan syarikat telekomunikasi menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal, iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.

Bagaimanapun, arahan yang sepatutnya berkuat kuasa semalam ditangguhkan selepas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata Rabu lepas isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.

Menurut Halim, penyelarasan harga kepada kadar pra GST itu agak mustahil dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta, kerana kerumitan membuat konfigurasi semula terhadap sistem.


Category Article

What's on Your Mind...