Nabil Bina Otot Badan Ketul-ketul Demi Kerjaya (Gambar)



JURULATIH Nabil, Cash memuat naik gambar mereka selepas selesai sesi bersenam baru-baru ini. – Foto Instagram

KUALA LUMPUR : Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad mengakui beliau kini aktif membina otot badan demi kerjaya seninya.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, berkata, buat masa ini beliau belum memuat naik sebarang gambar mempamerkan badan sasanya sebaliknya membiarkan sesetengah pihak tertanya-tanya dengan bentuk fizikal terbaharunya.

“Saya tidak bermaksud untuk menayang badan di Instagram dan memang saya tidak memuat naik sebarang gambar tidak berbaju pun.

“Jurulatih saya, Cash yang memuat naik gambar itu setelah kami selesai sesi bersenam baru-baru ini.

Setiap pihak mempunyai alasan mereka tersendiri menayang badan, bagi saya pula membina badan ini bertujuan untuk strategi perniagaan.

“Awal kemunculan dulu saya tampil dengan berbadan kurus, jadi selepas menjadi bapa kepada dua orang anak biarlah lain pula imejnya,” kata Nabil kepada BH Online.

Tambah Nabil, beliau kini menjalani diet sihat dan bersenam dua kali sehari bermula pada Februari lalu. Malah beliau turut mendapat inspirasi membuka kelas tarian zumba dan yoga dalam jangka masa terdekat.

“Saya mendapat inspirasi untuk membuka kelas yoga dan zumba ketika sedang bersenam di gimnasium yang mana ketika itu ada beberapa wanita duduk menemankan teman lelaki mereka.

“Pada pendapat saya, mengapa tidak membuka sebuah kelas tarian khas untuk wanita yang ingin menemankan teman lelaki mereka. Jadi mereka tidaklah membuang masa begitu saja,” ujar Nabil sambil tertawa.

Nabil mempunyai perancangan untuk menyewa ruang kosong di gimnasium yang terletak berdekatan kawasan Sri Pentas, Bandar Utama dalam masa terdekat ini.

Sumber: Bharian


Category Article

What's on Your Mind...