Nisa Bergelumang Dosa Demi Cinta Mat Saleh, Kini Hidap HIV


RUMAH Solehah yang menempatkan wanita Islam yang dijangkiti virus HIV bagi membantu mereka untuk meneruskan hidup.

Kuala Lumpur: “Akibat cinta terlarang, saya sanggup memutuskan tali pertunangan dengan lelaki pilihan keluarga dan bergelumang dengan maksiat seperti meminum arak serta melakukan hubungan seks tanpa nikah ketika kami bercuti di luar negara.

“Apabila disahkan positif HIV, dunia yang sebelumnya indah terus bertukar gelap sehingga keadaan diri ketika itu seperti nyawa-nyawa ikan dan hanya menunggu ajal,” kata wanita mahu dikenali sebagai Nisa, 47, yang dijangkiti virus itu selepas menjalin cinta jarak jauh dengan seorang lelaki ‘mat salih’.

Hubungan terlarang selama enam tahun itu bukan saja meninggalkan titik hitam dalam kehidupannya, malah menjadi pengajaran memeritkan kerana dia turut sanggup memutuskan tali pertunangan dengan lelaki pilihan keluarga.

Namun, bekas pekerja hospital swasta itu kini bangkit menempuh hari mendatang dengan melakukan kerja amal sebagai sukarelawan di Rumah Solehah, Kampung Pandan di sini, dan bahagia dengan rumahtangga yang dibina bersama pasangan baru pilihannya.

Menceritakan detik silam hidupnya, Nisa berkata, dia mengenali seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang mendakwa sebagai ahli perniagaan ketika menghadiri satu sambutan hari jadi rakannya pada 1999.

“Ketika itu kami hanya berkomunikasi menerusi Internet sebagai pasangan kekasih.

“Dalam tempoh setahun, lelaki yang berwajah kacak itu beberapa kali akan datang ke Malaysia dan membawa saya pergi bercuti di luar negara seperti Thailand serta China.

“Kehidupan saya ketika itu sememangnya terlalu bersosial dan kami kerap melakukan hubungan seks tanpa memikirkan risiko jangka panjang bakal dihadapi.

“Selain itu, dia pernah menceritakan soal perkahwinan kami sehingga saya sanggup mengabaikan tunang lalu memutuskan perhubungan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, segala-galanya musnah apabila keadaan kesihatannya tiba-tiba terjejas seperti batuk, berat badan turun secara mendadak, tiada selera makan selain penyakit lelah dihidapinya semakin kronik pada 2005.

“Pada tahun berikutnya, saya menjalani pemeriksaan doktor dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai jangkitan HIV itu. Apabila ditanya doktor mengenai pengambilan dadah, saya menafikannya dan mengakui terjebak dalam hubungan seks dengan kekasih,” katanya.

Walaupun putus harapan untuk hidup, kata Nisa, sinar kembali menjelma apabila dia dihantar pihak hospital ke Rumah Solehah untuk menjalani rawatan pemulihan awal.

“Saya pada awalnya berasa seperti hidup ini sudah tidak berguna, namun hati semakin terdetik untuk berubah selepas mengenangkan nasib kanak-kanak mangsa HIV yang ketika itu turut menjadi penghuni bersama wanita dewasa lain,” katanya.

Sumber: HarianMetro


Category Article

What's on Your Mind...