Anak Dipenjara Lepas Mengamuk Ibu Bapa Tak Layan Ajak Bincang Pasal Kahwin



Sekadar Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Seorang pembantu juruteknik dipenjara 20 hari dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah melakukan khianat dan ugut terhadap ibu bapanya, hanya kerana mereka enggan berbincang tentang perkahwinannya.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ridzuan Mohd Tajudin, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 23 Jun lepas.

Dia didakwa melakukan khianat terhadap bapanya Mohd Tajudin Jaafar, 72, dan ibunya, Fatimah Sanin, 75, dengan merosakkan perkakas elektrik dan pagar rumah melibatkan kerugian RM3,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah ibu bapanya, di Bandar Tun Razak, Cheras, pukul 4.50 petang pada 23 Jun lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Dia turut didakwa mengugut bapanya dengan mengacukan penumbuk ke muka mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan melakukan khianat, Mohamad Ridzuan dihukum penjara 14 hari dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan manakala bagi kesalahan mengugut bapanya, tertuduh dihukum penjara 20 hari. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Ditanya Majistret apa punca dia bertindak demikian, Mohamad Ridzuan berkata: “Saya marah mak kerana dia tak layan apabila saya ajak dia berbincang soal perkahwinan saya”.

Mohd Rehan turut bertanya mengapa dia mengugut bapanya, Mohamad Ridzuan berkata dia amat marah apabila kedua-dua ibu bapanya tidak menghiraukannya.

Ketika rayuan, peguam Ahmad Redza Mohd Noh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah, abang kepada tertuduh bercadang mahu merujuk adiknya kepada pakar psikiatri kerana dia kerap tidak dapat mengawal kemarahannya.

“Tertuduh merupakan anak bongsu daripada lima beradik, masih bujang dan tinggal dengan ibu bapanya. Beliau telah insaf dan mahu diberikan peluang kedua,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pendakwa, Inspektor Zuraimi Kamarozaman memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana keganasan terhadap ibu bapa sendiri atau orang tua adalah tidak wajar. — BERNAMA


Category Article

What's on Your Mind...