Dalam Hati The Rock ‘Ada Taman’ (Gambar)



Bekas bintang gusti yang kini menjadi aktor popular, Dwayne The Rock Johnson tiba-tiba menjadi sensasi di Instagram.

Puncanya, kejujuran yang ditunjukkan pelakon San Andreas selepas melanggar cermin sisi sebuah trak di tepi jalan.

Menceritakan kejadian itu, Johnson berkata, dia sedang memandu trak pikapnya sambil menyanyi-nyanyi apabila terdengar bunyi kuat tiba-tiba.

“Saya terkejut benar. Saya memandang ke cermin sisi dan ternampak satu lagi trak yang diletak di tepi jalan mengalami kerosakan cermin.

“Perkara pertama yang saya terfikir ialah – Alamak! Ada orang yang akan seronok sekejap lagi!” katanya.

Johnson kemudian berpatah balik dan berhenti berhampiran trak yang dilanggarnya. Di situ dia melihat ada seorang lelaki sedang melintasi jalan menuju ke arahnya.

“Ini kereta anda?” Tanya Johnson.

Lelaki itu terdiam kira-kira lima saat sebelum bertanya: “Ya, mengapa?”

“Saya minta maaf kerana terlanggar cermin sisi anda. Mungkin ada kerosakan lain,” jawab Johnson.

Dia kemudian meminta butiran lelaki terbabit dengan tujuan mahu member ganti rugi.

Sebaliknya lelaki itu kembali terdiam dan merenung ke arah Johnson.

“Er, anda The Rock?” tanya lelaki tersebut.

“Ya,” jawab Johnson.

Lelaki itu kemudian tersenyum lebar dan berkata: “Wah! Ini cerita besar!”

Mereka kemudian ketawa berdekah-dekah seolah-olah sudah kenal sejak sekian lama.

Beberapa hari kemudian Johnson menghubungi lelaki tersebut dengan niat mahu membayar ganti rugi atas kerosakan cermin sisi traknya namun ditolak dengan baik.

“Saya berterima kasih kepada Audie Bridges dari Wakefield, Massachusetts kerana begitu baik atas segalanya.

“Hidup ini lucu kerana anda tidak tahu siapa yang akan anda temui, dan pasti anda tidak tahu trak siapa pula yang akan anda gesel ketika pergi bekerja,” katanya.

Sumber: Malaysiakini


Category Article

What's on Your Mind...