Kantoi Intai Wanita Dalam Tandas



Gambar sekadar hiasan

KEMAMAN – Perbuatan tidak senonoh seorang tukang masak pelantar minyak mengintai seorang wanita di tandas Lapangan Terbang Kerteh membawa padah apabila akhirnya dia ditangkap polis kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 8.30 pagi itu, suspek yang berusia 25 tahun terkantoi apabila perlakuannya mengendap disedari mangsa yang sedang membuang air.

Suspek yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak serta bekerja dengan sebuah syarikat katering luar pesisir pantai dipercayai berada di kawasan lapangan terbang itu atas urusan kerja.

Terkejut dengan tingkah laku suspek, mangsa yang juga seorang peniaga dan berusia 27 tahun menjerit sekuat hati sebelum kejadian itu disedari orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, sehubungan itu suspek yang tinggal di Bandar Seri Bandi, Kijal ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Berikutan kejadian itu mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kerteh sementara suspek pula disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan yang mengaibkan,” katanya.

Kata Normansah, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika disabitkan kesalahan.

“Golongan wanita diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan tandas awam dan perlu memastikan keadaan tidak mencurigakan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang,” katanya.

Sumber: SinarHarian


Category Article

What's on Your Mind...