KILANG ASAM JAWA KOTOR DISITA


PARIT BUNTAR – Sebuah kilang pemprosesan asam jawa dan tepung jagung bakal didenda setelah premis itu didapati menggunakan logo halal tanpa sijil yang sah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Dalam pemeriksaan yang diadakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Parit Buntar, bersama dengan Jabatan Kesihatan daerah Kerian kelmarin, kilang itu juga didapati sangat kotor. 

Ekoran itu, premis berkenaan diarahkan tutup serta merta selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pihak KPDNKK Parit Buntar telah menyita dua produk tersebut termasuklah 22 guni pembungkus yang bernilai RM14,000.

Difahamkan, kilang tersebut telah beroperasi lebih dari 20 tahun yang mana pihak kilang mungkin tidak mengemas kini maklumat peraturan baru di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam operasi pemeriksaan selama 4 jam bermula jam 11.30 pagi itu dilakukan berdasarkan aduan dari orang awam yang ragu-ragu dengan produk makanan berkenaan yang didakwa kotor.

Jika disabitkan bersalah, syarikat terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000. -THEHYPEMEDIA.COM








Category Article

What's on Your Mind...