KONSEP BINA RUMAH & JUAL TIDAK SESUAI


KUALA LUMPUR - Konsep bina dan jual pada dasarnya tidak sesuai dilaksanakan di negara ini berdasarkan beberapa faktor terutamanya pemahaman kepada definisi 'bina dahulu jual kemudian, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Malah, konsep itu dikatakan tidak menepati tahap sosial penduduk di Malaysia berbanding dengan negara-negara yang telah melaksanakan konsep itu seperti Australia.

Menurut Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn. Bhd. Datuk Seri Dr. Vincent Tiew berkata, kajian terhadap perlaksanaan dasar bina dan jual itu perlulah dibuat dengan teliti kerana ia akan memberikan impak kepada pemaju serta menjadi punca harga hartanah melambung naik sehingga 15%.

Dipetik dari laman Utusan Malaysia, beliau sudah menjangkakan keputusan untuk melaksanakan konsep itu akan ditangguhkan berikutan kerajaan sehingga kini masih tidak mempunyai sebarang pelan cadangan yang boleh membantu melindungi konsep ini. Tambahan pula, pasaran hartanah masih belum bersedia.

"Jika dilaksanakan, hampir 90% pemaju terutamanya yang menjalankan projek di Sarawak sudah pasti tidak dapat memulakan sebarang projek kerana tiada modal awal untuk bermula," katanya.

Baru-baru ini kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan konsep itu terhadap para pemaju perumahan kerana ingin memberi keutamaan menstabilkan harga rumah di pasaran serta mengelakkan masalah kekurangan bekalan.

Sekiranya polisi itu dilaksanakan, sudah tentu banyak pemaju yang tidak dapat beroperasi kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi, demikian kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Konsep jual dan beli ini telah diumumkan oleh bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dimana semua pemaju diwajibkan melaksanakan konsep bina kemudian jual bermula 2015 bagi mengelakkan pembeli teraniaya akibat projek terbengkalai.

Difahamkan, menerusi konsep itu, pembeli cuma perlu membayar 10% deposit manakala 90% lagi hanya akan dibayar setelah rumah siap dibina. - THEHYPEMEDIA.COM


Category Article

What's on Your Mind...