Warga Internet Tegur Anak Dan Menantu Tengku Adnan Berkemban Di Majlis Persandingan



KUALA LUMPUR, 8 Jun: Foto majlis persandingan anak lelaki Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dimuat naik di laman Facebook beliau mendapat kritikan hebat daripada warga Internet kerana disifatkan tidak menutup aurat selain terlalu seksi.

TheRakyatPost melaporkan, pada majlis resepsi yang berlangsung di Putrajaya 6 Jun lalu itu, kedua-dua pengantin memakai busana mengikut adat suku kaum Jawa, dengan pakaian mempelai perempuan seolah-olah berkemban.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadiri majlis resepsi berkenaan bersama-sama 12 ribu tetamu yang lain.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Muhammad Taqiyuddin meminta Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya supaya memadam gambar persandingan anak menantunya itu daripada laman Facebook beliau.

“Mohon Tengku padam gambar ini. Memalukan,” katanya.

Manakala seorang lagi ‘Facebookers’, Rozila Ab Latif dalam komennya memberitahu ajaran Islam ada menasihatkan berhubung cara hidup dengan menganjurkan jika sesuatu adat bercanggah dengan hukum agama maka ia perlu ditinggalkan.

“Jadilah orang yang beriman dan bukannya sekadar pengikut,” tegas Rozila.

Setakat artikel ini ditulis, foto persandingan pasangan Dr. Tengku Iqbal Munawwir dan isterinya Ayu Linggasari, yang berasal dari Indonesia itu telah mendapat lebih 800 komen daripada warga laman sosial dan dikongsi sebanyak 315 kali.


Category Article

What's on Your Mind...