Fadil ‘Kecik Imba’ Bin Mohd Raziff, Anak Melayu Pertama Bertempur Di Seattle


KUALA LUMPUR: Menjelang kejohanan The International 5 (TI5) yang akan berlangsung di Seattle, Amerika Syarikat pada bulan hadapan, pemain-pemain Defence of The Ancient 2 (Dota 2) Malaysia di bawah pasukan Fnatic Dota 2 telah menjalani latihan khas di Jonkoping, Sweden baru-baru ini.

Pengurus Pasukan Fnatic Dota 2, Eric Khor Wei Soon berkata latihan khas ini adalah sebagai persiapan penuh menghadapi pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia yang akan menyertai kejohanan permainan video dalam talian ini.

“Kami telah menjalani latihan khas yang disediakan Fnatic di Jonkoping yang diadakan sebulan sebelum pertandingan TI5 bermula. Melalui latihan ini, kami diberi peluang untuk berlawan dengan pasukan daripada negara-negara Barat yang dianggap sebagai sebuah pasukan yang unggul dan kuat untuk kejohanan tahun ini.

“Latihan ini sangat penting kerana selalunya kami berlatih berlawan dengan pasukan-pasukan daripada Asia Tenggara, yang berada di tahap yang berbeza dengan pasukan daripada negara-negara Barat ini.

“Kami juga telah melakukan perbincangan demi perbincangan dan mengatur strategi yang lebih baik supaya kesilapan yang sama tidak berulang,” jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

TI5 merupakan kejohanan tahunan Dota 2 yang kelima anjuran Valve yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos di KeyArena, Seattle, Washington.

Setiap pasukan bagaimanapun perlu menyertai pertandingan saringan pada 27 hingga 30 Julai sebelum layak menyertai acara utama pada Ogos.

Jelas Eric, Pasukan Malaysia adalah antara 10 pasukan terbaik di seluruh dunia yang dijemput secara langsung untuk menyertai kejohanan ini.

“Kebanyakan ahli pasukan kami telah menyertai kejohanan-kejohanan TI sebelum ini di mana kejayaan terbesar mereka adalah dengan menduduki tempat ketiga pada tahun 2013. Tiga daripada mereka memenangi AS$250,000 (RM950,000).

“Kejohanan tahun ini sangat menarik di mana ia melihatkan wang terkumpul kejohanan melebihi AS$17 juta (RM64.6 juta) dan jikalau sekadar menduduki tempat ke-12 pun akan membawa pulang hadiah yang bernilai yang sama pada 2013,” tambah beliau.

Pasukan Fnatic Dota 2 ini terdiri daripada Chai Yee Fung, 25, yang terkenal dengan gelaran nama Mushi, Khoo Chong Xin (Ohaiyo), 22, Lee Kong Yang (kYxY), 24, Lee Siong Tait, (Johnny) dan Fadil Muhammad Razif (KecikImba), 19.

Chai Yee Fung yang merupakan kapten pasukan ini pernah menyertai pasukan Orange Esports DoTA dan menduduki tempat ketiga kejohanan TI pada 2013 bersama-sama Khoo Chong Xin dan Lee Kong Yang.

Bagi Lee Siong Tait, beliau menyertai kejohanan TI pada tahun 2014 di bawah pasukan Arrow Gaming dan ini merupakan kejohanan TI pertama buat Fadil Muhammad memandangkan beliau baru sahaja menyertai permainan video dalam talian ini secara profesional pada tahun lepas.

Apabila ditanya mengenai harapan Eric terhadap pasukan ini untuk kejohanan TI5, beliau menjawab: “sukar untuk katakan memandangkan semua pasukan sangat bagus. Saya cuma berharap mereka dapat meraih di kedudukan yang baik dalam kejohanan kali ini dan membanggakan negara kita.

“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat berdiri teguh di belakang kami untuk memberi sokongan kepada kami dalam kejohanan ini,” tambah beliau.

Setakat ini wang terkumpul kejohanan TI5 adalah sebanyak AS$17,088,929 ( RM 64,937,930) di mana kira-kira 36 peratus daripadanya adalah hadiah wang tunai bagi pasukan yang menduduki tempat pertama kejohanan ini AS$6,152,014 (RM 23,377,653). –AstroAwani


Category Article

What's on Your Mind...