Greece Menuju Negara Bankrap – Rakyat Dedah Punca Muflis



Rakyat Greece mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan menyelamatkan ekonomi negara tersebut.

Situasi Greece kini- Rasuah dan boros punca muflis!

Seawal pagi, Bank Negara Greece yang terletak di kota bersejarah, Athens dikerumuni ribuan warga emas atau golongan pesara yang menunggu bayaran pencen mereka.

Biarpun adakalanya penantian mereka berakhir dengan sia-sia namun golongan berkenaan tetap berjuang menuntut hak yang dijanjikan kerajaan kepada kira-kira dua juta pesara.

Bayaran yang diterima cukup untuk menampung keperluan harian sementelah barisan kepimpinan sedang bergelut menangani krisis kewangan yang melanda Greece.

“Kebiasaannya, saya akan mengeluarkan separuh daripada pembayaran pada setiap penghujung bulan namun hari ini saya mengambil semua duit.

“Saya sangat bimbang kerana banyak khabar angin berkaitan masalah kerajaan menangani krisis kewangan dan situasi buruk yang berlaku baru-baru ini,” kata pesara kerajaan, Sotiria Zlatini, 75.

Kerajaan bersayap kiri, Syriza mengetuai kepimpinan dan berjanji mahu membayar pencen kepada pesara sekitar Februari atau Mac lalu selepas kegagalan mencapai persetujuan pemberi pinjaman antarabangsa bernilai 7.2 bilion euro (RM30.26 bilion).

Selasa lalu, mereka lewat membayar pencen sehingga memaksa golongan pesara menunggu selama lapan jam atas alasan berlakunya masalah teknikal.

“Saya pergi ke ATM seawal pagi sebelum ke pasar tetapi terkejut kerana duit itu tidak ada.

“Saya kembali semula pada waktu petang, kira-kira lapan jam kemudian dan mendapati duit itu sudah dimasukkan ke dalam akaun bank,” ujar bekas jurutera, Socrates Kambitoglou.

Merosot

Kemajuan bandar raya Athens menjadikan ibu kota Greece itu sebagai lokasi pelaburan dan perdagangan termasyhur di Eropah.

Kemajuan bandar raya Athens menjadikan ibu kota Greece itu sebagai lokasi pelaburan dan perdagangan termasyhur di Eropah.

Greece merupakan sebuah negara yang unik terutamanya dari segi ekonomi, politik dan kebudayaan. Greece pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pertama pada tahun 1896 yang menyaksikan ibu kota Athens sebagai lokasi temasya sukan terulung dunia. Kestabilan ekonomi dan politik menjadi faktor utama Athens sekali lagi dipilih selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2004, sekali gus mengimbau memori 100 tahun lalu. Malangnya, Greece gagal mengekalkan kestabilan ekonominya sehingga menjejaskan kestabilan politik dan mengundang pergolakan.

Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009.

Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam.

Dalam keadaan ekonomi yang tenat, Greece tidak mampu berdiri dengan sendiri apabila pada Mac 2012, negara itu menerima suntikan dana kira-kira 145 bilion euro (RM580 bilion) daripada Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF).

Suntikan itu dianggap sebagai tabung penyelamat untuk meneruskan survival terutama memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Namun, jumlah itu hanya diperuntukkan selama dua tahun iaitu sehingga penghujung tahun lalu.

Pada masa yang sama, Greece juga menerima suntikan dana sebanyak 1.6 bilion euro (RM6.4 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sehingga akhir tahun ini.

Pada sidang kemuncak bagi memecahkan kebuntuan krisis kewangan yang membelenggu negara tersebut di Brussels, Belgium baru-baru ini, barisan kepimpinan Eropah mula bersatu untuk mencari jalan meningkat usaha mencapai perjanjian terhadap krisis hutang Greece.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengingatkan seluruh pemimpin negara Eropah supaya bekerja keras untuk mengekalkan Greece dalam zon Eropah.

Pada masa sama, Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras mengemukakan cadangan baharu bagi mengelak mereka culas dalam membayar hutang berjumlah 1.6 bilion euro (RM6.4 bilion) kepada IMF.

Greece digesa membayar hutang itu sebelum akhir bulan ini atau berdepan kemungkinan tersingkir daripada Kesatuan Eropah (EU) serta kehilangan mata wang euro.

Penunjuk perasaan

Seorang lelaki tua menghitung nasib menunggu bayaran pencen mereka di hadapan Bank Negara Greece.

Seorang lelaki tua menghitung nasib menunggu bayaran pencen mereka di hadapan Bank Negara Greece.

Pada persidangan di Brussels itu, Suruhanjaya Eropah, IMF dan Bank Pusat Eropah (ECB) bertekad tidak akan menyalurkan dana berjumlah 7.2 bilion euro (RM30.28 bilion) selagi Greece enggan bersetuju mengenai idea pembaharuan ekonomi yang diperkenalkan.

Ketua Kabinet Presiden Suruhanjaya Eropah, Martin Selmayr mendedahkan dalam Twitternya, cadangan terkini Greece diterima oleh pemiutang negara.

Bagaimanapun, pada masa sama, beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di Athens untuk menyokong pemimpin kerajaan yang berhaluan kiri.

Mereka marah dengan langkah-langkah penjimatan yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana ia menyebabkan gaji dan pencen dikurangkan, sekali gus mengakibatkan satu daripada empat rakyat Greece menganggur.

Memburukkan lagi keadaan, perhimpunan juga diadakan di Brussels dan Amsterdam, Belanda apabila ribuan penduduk Greece berkumpul beramai-ramai bagi membantah cadangan tersebut.

Tsipras dijadualkan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua tiga pemiutang antarabangsa Greece pada mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin Eropah di Brussels itu.

Sehari sebelum mesyuarat itu berlangsung, beliau membuat tawaran baharu pakej pembaharuan kepada pemimpin-pemimpin Jerman, Perancis dan Suruhanjaya Eropah.

Persediaan mereka ternyata dibayangi dengan krisis kewangan dan politik yang kelihatan seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian, sekali gus mengakibatkan senario politik negara itu semakin meruncing.

Cadangan yang disuarakan Tsipras adalah ‘saling menguntungkan’ dan boleh diterima pakai pada mesyuarat tergempar kabinet Greece biarpun mereka masih belum mendedahkan mengenai butiran perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil peluang yang terbuka itu bagi kebaikan bersama.

Namun, ketua bank terbesar Greece, Louka Katseli tampil dengan nada yang berbeza apabila memberitahu, ia akan menjadi sesuatu yang ‘gila’ kerana tidak mencapai persetujuan daripada EU.

“Kami tidak berada dalam ancaman kehabisan wang tetapi keadaan menjadi semakin serius kerana belum mempunyai sebarang perjanjian.

“Bagaimanapun, saya terfikir bahawa Greece tidak akan meninggalkan Eropah kerana kos akan menjadi lebih tinggi untuk negara-negara zon Eropah yang lain,” kata Katseli.

Sementara itu, ECB dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar yang berasingan baru-baru ini untuk membuat keputusan sama ada meningkatkan tahap pembiayaan kecemasan bagi bank Greece selepas meluluskan dana itu.

Para pendeposit dilaporkan mengeluarkan berbilion-bilion euro, sekali gus meletakkan sistem perbankan Greece di bawah tekanan baru-baru ini.

Perubahan ekonomi

Menteri kewangan Greece, Yanis Varoufakis dilihat meninggalkan persidangan di Brussels, Belgium baru-baru ini.

Menteri kewangan Greece, Yanis Varoufakis dilihat meninggalkan persidangan di Brussels, Belgium baru-baru ini.

Pengeluaran perbelanjaan dilaporkan mencapai angka 4.2 bilion euro (RM17.67 bilion) yang mewakili kira-kira tiga peratus daripada isi rumah dan korporat deposit yang dipegang oleh bank-bank Greece pada akhir April lalu.

Pemberi pinjaman mahu melihat Athens melaksanakan satu siri perubahan ekonomi dalam beberapa bidang seperti pembayaran pencen dan lebihan bajet sebelum meluluskan dana yang tertunggak sejak Februari lalu.

Cadangan itu dianggap sebagai satu dasar yang baik untuk kemajuan sebelum bermulanya satu proses kelahiran baharu bagi masa depan yang lebih baik buat Greece dan rakyat.

Greece memerlukan bantuan segera bagi mengelakkan dikenakan arahan ingkar pada pembayaran balik berjumlah 1.54 bilion euro (RM6.5 bilion) yang dipinjam daripada IMF pada 30 Jun.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada tanda-tanda atau pembaharuan yang dilakukan Greece biarpun masa semakin memberi tekanan besar kepada Tsipras.

Perkara itu diakui sendiri Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble apabila memberitahu, mereka seperti tiada persediaan dalam menangani situasi yang semakin genting itu.

Kenyataan Schaeuble itu turut dipersetujui banyak pihak termasuk Perdana Menteri Finland, Alexander Stubb.

“Ramai antara kami (pemimpin) kecewa kerana terpaksa membazirkan banyak masa untuk mendengar pelan atau kenyataan daripada Perdana Menteri Greece.

“Mungkin mereka memerlukan satu lagi mesyuarat untuk menetapkan sebarang keputusan terbaik,” ujarnya.

Bank of Greece iaitu ahli ECB telah menyediakan wang tunai kecemasan kepada bank-bank Greece untuk menampung pengeluaran deposit oleh rakyat mereka tahun ini.

Kadar pengeluaran telah meningkat bulan ini iaitu mencecah kira-kira 100 bilion euro (RM421 bilion) sehari, sekali gus menunjukkan ketidaktentuan nasib Greece dalam mendepani krisis ekonomi.

Sumber: Kosmo


Category Article

What's on Your Mind...