Mokhzani Didakwa Miliki Koleksi Kereta Mewah Bernilai RM36.2 Juta (Gambar)



Presiden JMM, Azwanddin Hamzah (tengah) berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa Mokhzani memiliki 18 buah kereta mewah yang bernilai RM36.2 juta.

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta anak mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mokhzani Mahathir memberi penjelasan mengenai kekayaan yang dimilikinya.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa Mokhzani memiliki 18 buah kereta mewah yang bernilai RM36.2 juta.

Menurut Azwanddin, pihaknya mahu Mokhzani atau Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan dari manakah sumber kekayaan yang dimilikinya itu dalam tempoh yang singkat.

“Tun Mahathir perlu memperjelaskan tentang dana modal anaknya adakah memperoleh kekayaan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Mohkzani juga perlu tampil menjelaskan segera kepada rakyat mengenai kereta mewah yang dimilikinya itu yang berjumlah RM36.2 juta itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Azwanddin, sekiranya Mokhzani atau Tun Mahathir tidak memberikan jawapan, JMM akan terus melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, ia bagi membolehkan SPRM meneliti mengenai perkara berkenaan kerana mungkin ada penyelewengan dan salahguna kuasa sewaktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“JMM akan membuat laporan kepada SPRM dan akan mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan perkara tersebut.

“Siasatan perlu dilakukan dengan serius kerana bagaimana Mokhzani boleh menjadi ‘multi-bilionaire’ dalam masa yang singkat.

“Ia sekaligus menimbulkan kecurigaan dan sekiranya SPRM atau Peguam Negara enggan bertindak atas perkara ini maka kita mohon campur tangan dari pihak Perdana Menteri,” ujarnya.

Katanya lagi, Mokhzani dan Tun Mahathir dicabar untuk menyamannya sekiranya apa yang dikatakannya itu adalah tidak benar.

“Namun begitu, saya yakin mereka tidak akan berani menyaman saya kerana saya mempunyai bukti yang cukup jelas,” tegasnya.


Category Article

What's on Your Mind...