Atas Dasar Kemanusiaan, Lelaki Cina Ambil Wanita Melayu Ini Sebagai Anak Angkat



Ini kisah yang sangat memberi inspirasi terutamanya buat rakyat Malaysia. Kisah yang akan kami kongsikan ini menunjukkan bagaimana kita yang berbeza dari segi agama, bangsa dan budaya boleh hidup dengan aman damai dan harmoni, seperti sebuah keluarga besar.

Kisah ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Stanley Yeong yang berhati mulia dengan membantu seorang wanita melayu bernama Hayati Abdullah yang kehilangan ibu-bapanya ketika dia baru sahaja berusia 9 tahun. Bapanya yang merupakan seorang “handyman” terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama dengan ibunya. Atas rasa simpati dengan nasib anak perempuan ini, Stanley mengambil keputusan untuk menjadikan saudari Hayati sebagai anak angkat. Segala perbelanjaan dan keperluan anak perempuan ini ditanggung olehnya.

Arwah bapa Hayati merupakan pembantu kepada stanley ketika mereka berdua terlibat dalam projek pemasangan paip untuk membekalkan air bersih dari Sungai Jerantut ke Taman Negara pada beberapa tahun yang lepas. Projek ini merupakan usaha kerajaan negeri Pahang dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat pedalaman.

Usaha Stanley ini wajar dipuji kerana walaupun datang dari keluarga yang berlainan serta berbeza bangsa dan agama, dia menggalas tugas untuk menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab dalam membesarkan dan menyediakan segala keperluan serta kewangan terhadap anak angkatnya.

Imej dari Facebook Stanley Yeong

Kini, Hayati sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri. Dia juga telah membuka sebuah kedai makan di atas bantuan keluarga iparnya. Untuk sampai ke tahap yang dia berada sekarang bukannya senang, ketika Hayati berusia 12 tahun, dia menghadapi kesulitan untuk mendapatkan kad pengenalan diri(IC) kerana ibu-bapa kandungnya tidak pernah mendaftar kelahiran anak mereka. Proses pendaftaran menjadi semakin sukar hingga mengambil masa selama 2 tahun. Dengan pertolongan pegawai polis dari Tumpat, akhirnya dia berjaya juga memperolehi kad pengenalan diri.

Kisah yang dikongsikan oleh Stanley ini mendapat perhatian dan reaksi postitif rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, statusnya telah mendapat sebanyak lebih dari 200 perkongsian oleh pengguna laman sosial. Stanley yang merupakan seorang penyelam marin profesional dan juruterbang persendirian telah kehilangan kedua ibu-bapanya ketika usianya masih kecil lagi dan beliau dibesarkan di rumah anak-anak yatim.

Semoga kisah yang dikongsikan oleh saudara Stanley ini dapat memberi semangat dan perangsang kepada kita agar terus berfikiran positif dan hidup saling bantu-membantu sesama kita, rakyat Malaysia.





Category Article

What's on Your Mind...