Mengapa Ibu-ibu Tertekan Apabila Terpaksa Melahirkan Anak Melalui Pembedahan?

Nukilan ini telah dikarang oleh Puan Siti Aishah seorang ibu yang pernah mengalami pengalaman bersalin melalui kaedah pembedahan.


Dalam entri ini, beliau meluahkan rasa keperitan ketika bertarung nyawa dalam melahirkan anaknya, tatkala ramai yang mempertikai dan ada yang menyatakan bersalin melalui kaedah pembedahan tidaklah seperit bersalin dengan kaedah normal, beliau tampil untuk memberi penjelasan.

Pengorbanan seorang ibu dalam melahirkan anak bukanlah diukur dari segi apa dan cara apa seorang ibu itu bersalin, tapi pengorbanan mereka melangkaui apa yang selalu difikirkan kita semua.

Hargailah setiap pengorbanan yang dilakukan, bersalin melalui kaedah apa sekalipun bukanlah menjadi persoalan.

Akan tetapi sejauh mana anda menghargai khusussnya para suami kepada insan yang bersusah payah bertarung nyawa melahirkan zuriat anda.

Nukilan ini dimuatnaik pada 5 Februari yang lalu dan mendapat jumlah perkongsian sebanyak 6624shares di Facebook.

Semoga nukilan Puan Aishah bermanfaat dan menjadi pendorong semangat kepada bakal ibu diluar sana.

Ikuti sepenuhnya nukilan beliau di bawah:
Mengapa ibu-ibu tertekan apabila terpaksa melahirkan anak melalui pembedahan?

1. Diluar jangkaan proses bersalin yang diidamkan.

- Cuba kau bagitau aku. Berapa ramai wanita di luar sana yang BELUM BERKAHWIN meletakkan "bersalin secara csect" sebagai salah satu impian dalam hidup mereka?

Pernah kau dengar cerita-cerita bakal pengantin; "nanti sayang nak lahirkan anak abang seramai 5 orang. Semuanya melalui PEMBEDAHAN." Ada? Ada?

Jari kena hiris dengan pisau pun dah meleleh air mata, inikan pula nak tadah perut kena lapah semata-mata untuk keluarkan anak.

Czer ini dikira rancangan akhir nak lahirkan anak. Akhir yang macam mana? Akhir sebelum MATI!

2. Trauma dari proses pembedahan.

Bayangkan. Kau dah sakit berjam-jam. Tiba-tiba doktor beritahu anak kau dah makin lemas. Ok..itu dah satu trauma.

Lepas itu tiba-tiba kau dikerumun oleh pakar perubatan. Cucuk sana sini. Masuk wayar itu ini (wayar pundi kencing paling azab). Mereka sedang sibuk-sibuk nak selamatkan kau dan anak-anak kau.

Kau disiap-siapkan dan disorong jumpa suami kau. Suami kau muka blur sebab tak sempat hadam kenyataan kau nak kena bedah. Kau nak bagitau kat suami kau yang apapun terjadi kau sayangkan dia dan anak-anak yang lain (jika ada). Dan kau takut jika itu adalah saat terakhir kau jumpa dan pegang tangan suami kau! Kau terpikir kau tak habis bermanja dengan suami. Kau tak sempat minta maaf dengan anak-anak yang saban hari kau termarah tanpa sedar.

Tapi sekarang kau dalam perjalan 50-50; hidup atau mati.

Kau disorong sorang-sorang (suami tak dibenarkan ikut untuk kes emergency csect) masuk dalam O.T. Kau dengar doktor cerita pasal breakfast nasi lemak. Pastu ada cerita pasal dilwale. Yang kau tengah bertarung minda samada sakit atau tidak kena lapah nanti. Lepas tu bila kau nak dibius, kau tengok jarum epi tu punya besar, kau dah tau yang jarum itu akan masuk ke dalam badan kau untuk biuskan kau.

Melainkan kau dibagi tidur (aku dah merasa kedua-duanya. Aku prefer tidur. Kurang takut. Nak matipun terus pergi lah kot. Wallahualam. Naizubillah. Takut aku nak fikir)

Kemudian kau dah mula rasa ada benda kena tekan-tekan atas badan kau. Tapi kau tak nampak. Kau rasa mereka tolak-tolak badan kau ke kiri. Ke kanan. Kau tak boleh gerak. Masih tak dengar suara baby.

Tapi alhamdulillah...baby selamat. Ok kau boleh lega dah. SEKEJAP!

3) Momen terindah?

Setiap kali orang tengok anak mereka, mereka teringat kali pertama melihat mata si anak sejurus lepas bersalin. Aku? Anak depan aku. Aku tak nampak mata. Blur. Bius. Tidur. Tahu-tahu aku nampak muka doktor dulu. Muka anak? lepas aku dah sedar baru nampak.

Dan bila aku tengok muka anak-anak aku...aku terkenang cerita trauma setiap sorang. Momen indah? Aku dapat masa 1st bonding menyusukan anak. Alhamdulillah.

Selain doktor, patutnya aku yang dapat tengok anak aku dulu. Tapi disebabkan aku dibius tidur, nenek, atuk, kakak katil sebelah, makcik cleaner dah dulu melihat wajah yang aku tunggu selama 9 bulan 10 hari. Takda eksklusiviti. Takda kejutan. Takda cinta pandang pertama.

4) Jihad penyusuan

Anak kau keluar sihat. Comel. Alhamdulillah. Tiba-tiba, anak kau melalak. Kuat. Nurse datang ambilkan anak letak dekat kau. Tapi kau?

Kau bertarung kesakitan dengan tempat luka. Kau tengok muka anak kau. Kau nak pujuk. Tapi badan kau tak boleh bergerak.

Bila badan kau dah boleh bergerak, kau nak letak anak atas badan untuk menysukan, terkena perut kau yang baru dilapah. Kau menahan kesakitan.

RIMAS!!!! Aku nak susukan anak aku dengan selesa macam ibu disebelah! Tetapi ibu itu bersalin normal!

Dan kau mula tertekan.

5) Mulut puaka.

Datang mereka-mereka yang menziarahi. Tanya "kenapa czer?" Aku mula bercerita perjalann cuba bersalin normal tetapi anak lemas bla bla bla....

Kemudian yang bertanya sambung cakap "punggung kau kecik sebab itu tak boleh beranak normal kot."

Maksudnya?

Aku cacat? Sebab tu aku tak mampu bersalin normal? Dan dia pun pulang tertonggek-tonggek dengan punggung lebar dia yang normal itu tanpa dia sedari dia telah mengguris hati aku. Dan keyakinan aku.

6) Proses Penyembuhan. 

Luka pembedahan dan luka hati

Kau dipaksa berjalan. Untuk elakkan darah beku. Pedih. Rasa badan nak tertanggal dua. Kau dah usaha sebaik mungkin. Tetapi kau tak mampu. Orang mula cakap kau mengada-ngada. Kau baru lepas dipotong 7 lapis kulit daging dan isi. Kau tak boleh tunjuk kau sakit. Kau kena tunjuk kuat. Kau tak ada ruang untuk menjadi LEMAH. Semasa, even selepas bersalin!

Perut kau berlipat dua tak boleh terus dibengkung rapat ke badan. Melihat badan di cermin saban hari benar-benar menyedihkan. Aku siap menangis mendayu-dayu bila ibu aku bersihkan badan aku sambil cakap "Badan akak dah buruk,bu."

Dan ibu pujuk..

"Stop crying. Nanti kita pantang elok-elok. Akak akan dapat balik badan lama akak."

Tapi hakikatnya, tak semudah itu. Berpantang orang czer perlu berlebih. Setahun baru dapat saiz badan asal. Masih bersisa cacat di celah lipatan pembedahan. Tak sama dengan perut bersalin normal. Sekata dan rata.

Jadi...sila faham.
Mengapa ibu-ibu yang bersalin czer ini over sensitif.
Bukan kami mengada-ngada.
Tetapi kami juga keliru macam korang.

Mengapa kami tak mampu bersalin normal macam orang lain.

Sila simpati.
Letak empati.

Pada ibu bersalin czer.

Luahan jiwa nazak
Siti Aishah
5 Feb 2016
Bekas ibu dibedah 3 kali.
2009, 2010 & 2014

Luahan ini dibuat apabila rata-rata wanita meroyan yang datang kepusat rawatan saya mempunyai masalah dengan orang sekeliling (kaum keluarga malah suami) yang tidak memahami tekanan kami selepas melahirkan bayi secara pembedahan.


Category Article

What's on Your Mind...