Pencuri Talian WiFi Telah Lakukan Bukan Satu, Tapi 3 Dosa - Mufti


Awas pencuri talian Wi-Fi, perbuatan anda haram di sisi Islam, menurut kata sepakat para sarjana agama di Jabatan Hal-Ehwal Islam dan Aktiviti Amal (IACAD) di Dubai.

Ketua mufti, Dr Ali Mashael berkata, perbuatan menggunakan Wi-Fi tanpa izin pemilik bukan satu, tetapi tiga kesalahan, iaitu sejenis penipuan, penggelapan dan pencurian.

Malah, sekiranya perkhidmatan itu terjejas teruk angkara penggodam atau pengguna haram itu, maka lagi dosa atau kesalahan ditimpakan ke atas pelaku.

“Tidak kira pemilik perkhidmatan Wi-Fi terjejas atau sebaliknya, adalah haram atau dilarang menggunakan perkhidmatan itu tanpa izin pemiliknya,” tegas Dr Mashael, menurut laporan Khaleej Times.

Menambah keseriusan perbuatan itu, penyelidik Dr Shaikh Mohammed Ashmawy menambah, sekiranya penggodam atau pengguna haram Wi-Fi menggunakan perkhidmatan itu untuk kegiatan yang tidak sah atau terlarang, maka bertambah lagi dosa atau kesalahan si pelaku.

“Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan, dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan cara yang salah’, justeru orang ramai janganlah mencuri Wi-Fi,” jelas Dr Ashmawy.

Fatwa itu disiarkan di laman sesawang IACAD semalam sebagai jawapan kepada pertanyaan pembaca tanpa nama.

Ia mengatakan: “tidak salah menggunakan talian itu, sekiranya jiran kamu membenarkan, tetapi sekiranya mereka tidak mengizinkan, kamu tidak boleh guna talian itu.”


Category Article

What's on Your Mind...