Lihat Bagaimana Keadaan Seseorang Apabila Mengetahui Tarikh Matinya


Seperti yang diketahui umum, sesungguhnya ajal maut adalah rahsia dari Allah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati tapi tiada seorang pun di dunia ini yang mengetahui bila waktu matinya sampai.
Seperti Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.

Tiada yang mengetahui bila masanya mati kecuali mereka yang digelar banduan akhir. Beruntunglah mereka yang mengetahui tarikh matinya kerana masih ada masa untuk bertaubat memohon ampun dari Allah SWT. Menurut ustaz, majoriti mereka yang meninggal dunia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.


Dipetik dari ceramah Ustaz Wadi Annuar yang bertajuk Sakaratul Maut Banduan Akhir. Ada satu kes dinamakan sebagai banduan akhir. Banduan akhir ialah banduan yang melakukan jenayah berat mengalami proses kehakiman kadangkala 2 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan akhirnya akan dihukum dengan hukuman gantung oleh hakim.

Kalau hukuman gantung itu dibacakan pada hari Isnin maka hukuman gantung sampai mati akan dijalankan oleh semua banduan yang Islam pada hari Jumaat. Apabila seorang banduan akhir dihukum gantung sampai mati, maka namanya ketika itu ialah banduan akhir dan biliknya akan diasingkan dan nama biliknya ialah sel akhir. Apabila hakim menjatuhkan hukuman pada hari Isnin, ketika itu baki kehidupan harinya ialah Selasa, Rabu dan Khamis sahaja. Waktu hakim baca yang seseorang itu akan dijatuhkan hukuman sampai mati pada hari Jumaat di antara jam 6 hingga jam 7 pagi. (Mengikut prosedur).

Orang yang namanya banduan akhir itu selepas hakim membacanya keputusan, lututnya dah tak boleh berdiri kerana beliau hanya boleh bernafas dalam 3 4 hari sahaja lagi. Apabila balik ke penjara warden akan menyuruh banduan akhir itu mengasingkan baju untuk dibawa ke sel belakang sekali iaitu sel yang hanya menempatkan beliau seorang diri.

Dengan itu, kita dapat melihat bagaimana banduan akhir itu menghabiskan masanya menghabiskan kehidupannya dengan sentiasa membaca Al-Quran dan ketika ustaz agama pergi ke sel akhir itu, majlis percakapan dan nasihat itu akan dipenuhi dengan tangisan air mata. Kita akan melihat banduan akhir akan menghabiskan masanya dengan bacaan Al-Quran yang banyak, solat yang panjang, zikir yang banyak dan mengadu dengan Allah kerana beliau mengetahui umurnya hanya tinggal lagi 1 2 hari sahaja lagi.

Bila sampai hari Khamis, iaitu satu hari sebelum digantung pada pagi hari Jumaat, banduan akhir ini tidak akan tidur semalaman, beliau akan menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah, bertaubat kepada Allah. Pada pagi atau malam itu, banduan akhir itu akan diberikan pilihan untuk memilih makanan apa yang dikehendakinya dengan harga tidak lebih RM 7.50. Tetapi kebanyakkan banduan akhir tidak akan memesan sebarang makanan kerana beliau sudah mengetahui keesokan harinya beliau akan menjalani hukuman mati.

Keesokkan harinya, banduan akhir diberi peluang untuk bercakap dengan ahli keluarganya, kebanyakkan banduan akhir sudah tidak mampu untuk bercakap selain tangisan dan berpelukan sesama mereka. Kemudian beliau akan dibawa ke bilik dan digantung sampai mati. Begitulah pengakhiran seseorang yang dinamakan banduan akhir.

Lihatlah, bagaimana rahmat Allah merahsiakan kematian, walaupun banduan akhir mengetahui tarikh matinya, tetapi beliau tidak mengetahui minit keberapa beliau akan digantung dan diambil nyawanya oleh Allah SWT. Bagaimana pula kita, yang tidak tahu bilakah tarikh kita mati malah di mana tempat kita akan menghabiskan nafas yang terakhir? beruntunglah mereka kerana mengetahui tarikh matinya kerana sempat untuk bertaubat memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang dilakukan. Tetapi kita? renung-renungkan lah.

Sumber : Nizarazu.com


Category Article

What's on Your Mind...