Jangan Buang ‘Boarding Pass’ Anda Begitu Sahaja!


Sesetengah orang gemar mengambil gambar boarding pass dan menyiarkannya di media sosial. Ada yang membuangnya ke dalam tong sampah atau meninggalkannya di atas tempat duduk penumpang.

Boarding pass hanya sekeping kad yang mengandungi maklumat nama penumpang kapal terbang, nombor penerbangan, destinasi, nombor tempat duduk dan nombor pintu berlepas. Selepas mendarat kebanyakan orang hanya membuangnya begitu sahaja.

Tetapi tahukah anda bahawa boarding pass perlu dijaga dengan baik sebelum, semasa dan selepas penerbangan?

Kenapa? Ini sebabnya.


Menurut pakar forensik bernama Winston Krone, boarding pass mempunyai kod bar (bar code) yang mengandungi maklumat peribadi penumpang seperti nama, alamat rumah, alamat email dan nombor telefon. Oleh itu, jika kod bar ini diperolehi oleh orang lain, dengan mudah untuk hacker memperolehi maklumat peribadi dan kewangan anda.

Anda mungkin masih tertanya-tanya bagaimana maklumat peribadi anda boleh dilihat pada boarding pass. Begini caranya. Apabila kod bar pada boarding pass diletakkan pada ‘bar code reader’, kesemua maklumat yang terkandung dalam kod bar itu akan dapat dilihat. Maklumat peribadi yang penting ini boleh digunakan oleh hacker atau pencuri.

Oleh itu, pastikan anda menyimpan boarding pass anda dengan selamat sebelum, semasa dan selepas penerbangan. Selepas itu anda boleh melupuskannya dengan cara mengoyak sehingga hancur atau membakarnya supaya maklumat peribadi anda pada kod bar tersebut tidak boleh dilihat oleh orang lain.

Selain itu, elakkan mengambil gambar boarding pass anda dan menyiarkannya di media sosial. Menerusi teknologi yang terkini pada hari ini, hanya beberapa klik di hujung jari sahaja kesemua maklumat peribadi anda boleh diperolehi.


Category Article

What's on Your Mind...