Hantaran Tinggi, Ramai Lelaki Kini Pilih Untuk Membujang


Prinsip ajaran islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya dibenarkan di dalam islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin, yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada ‘malam pertama’ sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.


Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. (Surah An-Nisaa’ – Ayat 4) , Sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Riwayat Bukhari ) .

Dari hadith di atas nyatalah bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah ﷺ pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tidak memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin, lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada lelaki itu, “Adakah pada engkau (hafaz) sedikit daripada ayat Al-Qur’an?” lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah ﷺ pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud: “Sebaik-baik mas kahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud ) , Dan sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )


Bahagian Mahar:


1. Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

2. Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

Wang hantaran yang tinggi inilah yang menjadi masalah kepada kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian, mereka seperti “membudayakan” kebiasaan meminta maskahwin yang berlebih-lebihan sebagaimana yang berlaku dalam zaman jahiliyyah.

Akibatnya ramai kaum pemuda yang tidak mampu mendirikan rumah tangga, penyakit sosial bertambah luas dan akhirnya banyak sekali lelaki & wanita yang hidup merana disebabkan oleh” krisis perkahwinan”.


Category Article

What's on Your Mind...