Sultan Kelantan Dipilih YDP Agong ke-15


Dalam pertemuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 yang diadakan hari ini, agenda utama yang digariskan adalah pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas tersebut dipengerusikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertembat di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Keputusan daripada perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 masih lagi belum dikeluarkan secara rasmi, tetapi terdapat perkhabaran yang menyatakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan mengambil alih sebagai YDP Agong Malaysia yang baharu menggantikan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang akan berakhir 12 Disember ini.

Keputusan tersebut berdasarkan sistem penggiliran yang diamalkan oleh Majlis Raja-Raja dalam memilih Yang di-Pertuan Agong Negara sejak dahulu lagi.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dalam masa yang sama, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Dis 2016 untuk tempoh lima tahun.


Category Article

What's on Your Mind...