Coli, Seluar Dalam Terpakai Antara Barang Yang Disumbang (Gambar)

Buruknya sikap sesetengah rakyat Malaysia kerana ada antara ahli masyarakat menjadikan pusat pengumpulan barangan bantuan banjir sebagai tempat untuk ‘membuang’ pakaian-pakaian lama mereka.





Antaranya pusat pengumpulan bantuan banjir pertubuhan bukan kerajaan, Muslim Care Malaysia menerima antara lain sumbangan seluar dalam dan baju dalam sudah dipakai dan lusuh untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang kini melanda dengan teruk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.




Setiausaha 1 Muslim Care, Abdul Razak Mohamed yang ditemui di pusat pengumpulan sementara bantuan mangsa banjir berkata kepada UtusanMalaysiasemalam, sejak pusat itu dibuka 25 Disember lalu sejumlah 5 tan pakaian terpakai telah disumbangkan kepada mereka.



“Kami terpaksa menggunakan tenaga sukarelawan yang terhad dan menghabiskan masa mengasingkan pakaian terpakai ini.






“Kira-kira 20 peratus daripada sumbangan pakaian terpakai terpaksa dibuang. Siapa mahu memakai pakaian dalam terpakai atau baju dan seluar yang telah koyak? tanya Abdul Razak ketika ditemui di sini hari ini.



Selain seluar dalam dan baju dalam terpakai ada segelintir masyarakat yang turut menyumbang kasut bertumit penuh perhiasaan dan kasut lusuh yang tapaknya telah tertanggal.



Pusat berkenaan kini tidak lagi menerima sebarang sumbangan berbentuk pakaian terpakai.



Sementara itu, Abdul Razak berkata, Muslim Care telah menghantar sejumlah 25 tan bantuan pada 26 Disember menggunakan tiga lori dan 14 pacuan empat roda ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.



“Pada 27 Disember kita menghantar 70 tan lagi bantuan kemanusiaan menggunakan 5 buah lori dan 48 pacuan empat roda di tiga negeri tersebut. Pada 28 Disember dan hari ini kita menghantar kira-kira 40 tan lagi bantuan,” jelas Abdul Razak.



Abdul Razak berkata, 80 peratus barangan yang dihantar adalah makanan seperti beras, biskut, gula, air minuman dan barangan dapur seperti bawang dan sebagainya. Manakala 20 peratus lagi merupakan lampin pakai buang, tuala wanita dan barangan kebersihan.



Menurut beliau, penghantaran barangan kepusat-pusat pemindahan banjir adalah berdasarkan senarai yang diminta oleh wakil-wakil Muslim Care disetiap kawasan bencana.



“Sebelum kami membuat penghantaran ke sesuatu lokasi, kami akan semak dengan wakil kami di sana untuk mendapatkan senarai barangan keperluan yang mendesak.



“Sebab kami tidak mahu menghantar barangan yang mereka telah ada. Berdasarkan senarai yang ada kita akan buat pengasingan di sini untuk dimuatkan ke dalam kenderaan,” kata Abdul Razak.



Dalam pada itu, Abdul Razak menjelaskan orang ramai telah bermurah hati dengan menderma wang tunai dengan jumlah terkumpul sebanyak RM100,000.



“Wang tunai yang dimasukkan ke dalam akuan kita ini akan digunakan untuk membeli barangan makanan terutamanya untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” kata Abdul Razak.



Abdul Razak berkata, Muslim Care turut menerima sumbangan lapan buah bot daripada sebuah syarikat di Perak. Bot-bot berkenaan digunakan di kawasan bencana yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan darat.



Muslim Care masih lagi memerlukan sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terkandas dan bantuan masih perlu dihantar selepas banjir surut.


Category Article

What's on Your Mind...