Jus Tembikai 50 Sen Sebungkus Jadi Rebutan



Norhanisah melakukan proses membungkus jus tembikai 50 sen untuk dijual.

KARANGAN – Menjelang Ramadan sudah semestinya ramai orang berebut-rebut untuk menambah pendapatan menerusi perniagaan, namun seorang wanita di sini memilih untuk berniaga sambil bersedekah.

Setiap hari, Norhanisah Ghazali, 30, akan membuka gerainya di Taman Mutiara, di sini bersama 30 biji tembikai bersaiz besar.

Menurutnya, saiz tembikai memainkan peranan untuk memastikan air atau jus yang dihasilkan manis semula jadi.

“Hari-hari saya perlu pergi ke kedai buah dan saya tak akan beli buah tembikai saiz kecil yang selalunya tawar dan kurang kualitinya dari segi rasa.

“Saya memang cerewet dalam soal kualiti, tambahan pula di bulan puasa ini saya nak berniaga sambil bersedekah,” katanya kepada Sinar Harian.

Norhanisah berkata, dia juga tidak menggunakan air paip sebaliknya memilih air mineral yang dibeli di kedai untuk menjamin kualiti jus tembikainya.

Malah, jelasnya walaupun ini pertama kali mencuba nasib berniaga ketika Ramadan sambutan daripada penggemar jus tembikai dan penduduk sekitar sangat menggalakkan.

“Bayangkan 30 biji tembikai yang boleh hasilkan kira-kira 500 bungkus jus dapat dihabiskan dalam masa sejam setengah.

“Nak kata tak untung itu, Alhamdulillah ada juga rezeki saya untuk anak-anak walaupun tak banyak tetapi tak mengapalah niat saya untuk bersedekah,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kebanyakan pelanggannya sudah mula membuat tempahan sebelum kedai dibuka malah pelanggannya membeli lapan hingga 10 bungkus seorang.

Katanya, kedainya mula dikerumuni ramai pelanggan pada waktu orang ramai pulang dari berkerja antara jam 5 hingga 5.30 petang.

“Saya buat persediaan mengisar tembikai, sediakan air gula dan ais sekitar jam 3.30 petang.

“Waktu itu ada juga yang sudah datang membeli dan paling ramai sehingga terpaksa beratur pada waktu puncak iaitu orang balik kerja,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan Siti Aisyah Hanif, 28 berkata, harga jus yang dijual murah dan sukar didapati malah rasanya lebih sedap.

“Ini kali keempat saya datang membeli jus tembikai di sini, sudahlah harga murah, rasanya pula manis dan memang sedap,” katanya kepada portal SinarHarian.


Category Article

What's on Your Mind...