Kim Jong Un Arahkan Tentera Bersedia Untuk Perang



Penduduk Korea Selatan menonton berita melalui televisyen di stesen kereta api di Seoul, semalam mengenai serangan meriam Korea Selatan ke arah Korea Utara. AFP

Kim Jong Un telah mengarahkan tenteranya untuk bersedia sepenuhnya untuk sebarang operasi tempur, meningkatkan lagi ketegangan selepas tenteranya melancarkan roket ke Korea Selatan di zon bebas tentera, lapor berita Bloomberg.

Kim mengisytiharkan “situasi separa perang” di sepanjang sempadan dan telah mengadakan mesyuarat badan tertinggi tentera parti pemerintah itu menurut kenyataan rasmi Korean Central News Agency, hari ini.

Korea Utara dilaporkan melepaskan 2 serangan roket di kawasan sempadan Korea Selatan Khamis petang, menyebabkan tentera Seoul membalas dengan berdozen serangan meriam, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, yang mengesahkan tiada sebarang kemusnahan dan kecederaan.

Korea Utara bagaimanapun menafikan ada melepaskan sebarang serangan.

Ketegangan tercetus sejak beberapa minggu lalu di kawasan yang dikenali sebagai DMZ yang memisahkan Semenanjung Korea kepada dua.

2 anggota tentera Korea Selatan pada 4 Ogos dilaporkan parah terkena periuk api yang menurut Seoul telah ditanam oleh pihak Korea Utara.

Korea Utara menafikan perkara tersebut.

Konflik kedua-dua negara bertambah tegang apabila Korea Utara mengancam melakukan serangan ke atas pembesar suara digunakan untuk siaran propaganda Korea Selatan di sempadan serta sejak Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan bersama Amerika.


Seoul lancar serangan meriam ke Korea Utara

SEOUL – Korea Selatan melancarkan 10 tembakan meriam ke arah Korea Utara, semalam dalam satu kejadian berbalas-balas serangan meriam selepas Pyongyang melepaskan tembakan dipercayai roket ke arah pembesar suara Seoul yang digunakan dalam perang propaganda bagi mengecam Pyongyang.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, Korea Utara, bagaimanapun tidak segera bertindak balas terhadap tembakan meriam dari Seoul ketika ketegangan di semenanjung Korea semakin memuncak.

Utusan Online melaporkan, menurut kementerian berkenaan, serangan itu dilakukan selepas Seoul mengesan peluru berpandu yang dipercayai roket milik Korea Utara di kawasan Korea Selatan yang dilancarkan pada kira-kira pukul 3.52 petang tetapi tidak membawa kerosakan mahupun kecederaan kepada tentera Korea Selatan.


Orang ramai melihat siaran TV mengenai serangan Korea Utara.

Katanya, peluru berpandu itu jatuh di kawasan kira-kira 60 kilometer dari utara Seoul di bahagian barat zon sempadan.

Agensi berita Yonhap melaporkan, penduduk yang tinggal di kawasan itu sudah diarahkan berpindah.

Ketegangan antara kedua-dua negara Korea itu timbul awal bulan ini selepas letupan periuk api di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang mencederakan dua tentera Korea Selatan.

Seoul menuduh Pyongyang bertangunggjawab, namun dakwaan itu dinafikan Korea Utara.

Ekoran itu, Seoul mula melancarkan propaganda menggunakan pembesar suara bagi menyebarkan kempen anti-Pyongyang di kawasan sempadan kedua-dua negara, taktik yang dihentikan oleh kedua-dua negara sejak 2004. – REUTERS

Kredit: Carigold


Category Article

What's on Your Mind...