Udara Segar Dari Gunung Mendapat Sambutan Hangat di China


Dek kerana pencemaran udara yang teruk di Beijing, jualan botol yang mengandungi udara segar dari kawasan pergunungan di Kanada menjadi semakin popular di China.


Pencemaran udara di Beijing telah mencecah pada tahap amaran merah pada minggu lalu. Amaran merah telah diisytiharkan oleh pihak berkuasa Beijing pada 7 Disember lalu sebelum pencemaran udara mencapai tahap merbahaya tiga hari selepas itu.

Difahamkan, pencemaran udara di kawasan tersebut disebabkan oleh pelepasan asap kilang dan kenderaan.

Produk udara segar itu dijual oleh dua usahawan dari Alberta, Kanada, dengan jenama yang dikenali sebagai Vitality Air lebih setahun yang lalu. Namun dalam dua minggu terakhir ini, jualan mereka meningkat secara mendadak.

Vitality Air diasaskan oleh dua rakan baik, Moses Lam dan Troy Paquette pada 2014. Syarikat tersebut mengambil udara segar dari kawasan pergunungan di Alberta sebelum ia dibotolkan dan dieksport ke luar negara.

Menurut wakil Vitality Air di China, Harrison Wang, walaupun pihaknya baru memasarkan produk tersebut di China lebih sebulan lalu, sambutannya sangat luar biasa.

“Kami memasarkan produk ini di Internet dan ia habis dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.

Vitality Air dijual pada harga mencecah 400 yuan (RM266) sebotol bergantung kepada saiz botol.


Category Article

What's on Your Mind...