ZAHID HAMIDI DEDAH PENDERMA RM2.6 BILION


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan individu yang menderma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, individu yang dimaksudkan itu bukan merujuk kepada seseorang tetapi adalah pimpinan sebuah kerajaan.

Bukan Dari Individu Tapi Sebuah Kerajaan

Katanya, derma itu diberikan kerana mempercayai UMNO yang mampu membawa Islam dan menentang mazhab lain selain Sunnah Wal Jamaah.

“Orang yang beri ini bukan individu. Tetapi saya tidak mahu menyebutkan (sebab perkara tertentu).

“Pimpinan kerajaan itu telah memberikan jumlah dana yang lebih besar dan banyak kepada negara Islam yang lain.

“Kenapa perlu dipertikaikan keikhlasan itu? Dan negara itu tidak minta kontrak atau projek daripada kita.

“Patutnya kita berterima kasih kerana negara itu tidak minta apa-apapun.

Derma Kerana Percaya UMNO mampu bawa Islam menentang anti Sunnah Wal Jammah

“Kebolehpercayaan kepada UMNO sebab UMNO boleh membawa Islam, kerana UMNO menentang mazhab-mazhab di luar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini harus difahami dan kita harus menghargai.

“Kita mempertikaikan seolah-olah kita boleh dan mampu untuk mencari. Dahlah kita tak mencari, kita pertikaikan orang lain yang membuat,” katanya yang dipetik daripada temubual bersama AgendaDaily dan BNBBC.

Zahid berkata, sejak awal isu derma RM2.6 bilion ditimbulkan, beliau konsisten dengan pendiriannya menyakini Perdana Menteri.

Ini kerana, katanya, semua parti politik memperoleh dana politik.

“Seharusnya kita membantu, bukan mempertikaikan. Sudahlah kita tidak membantu, kita mempertikaikan pula orang yang memperolehi dana berkenaan dan mengagihkan untuk memperkuatkan parti,” katanya yang mengakui telahpun menemui wakil penderma itu.

Menurut Zahid, sekalipun isu sudah diperjelaskan oleh Perdana Menteri tetapi kerana ia dipertikaikan maka persepsi itu terus menjadi masalah lebih besar.

“Apabila kebencian itu ditanamkan, maka sebarang realiti dan kebenaran itu tidak diterima lagi. Dan inilah permasalahan yang timbul,”katanya.

Zahid juga membongkar cerita yang berhubung kait dengan dana politik selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu disebut dalam International Transparency yang menyatakan RM1.2 billion diserahkan kepada penganti Tun Abdullah Badawi.

“RM1 billion dalam bentuk aset dan RM200 juta dalam bentuk tunai. Kita pun boleh tanya dengan Dr Mahathir mana dia dapat duit itu?

“Lima kali pilihanraya di zaman beliau tentu orang pun boleh bertanya tetapi tidak mahu tanya sebab kita hormat.

“Kita serah pada dia sebagai pemimpin ketika itu. Dari sumber mana dia dapat, asalkan ia mengikut undang-undang dan tata-etika dan ini harus dihormati oleh semua,” kata Zahid.


Category Article

What's on Your Mind...